Monday, January 4, 2010

Resepi Lawan Menjadi Kawan

Resepi Lawan Menjadi Kawan

Ilmam, Wali, Zul dan Ashraf, antara tenaga pasukan KEM HIJRI 1431

“Kenapa dalam program anjuran pelajar universiti, kita perlukan ramai fasilitator hingga ada program yang ahli jawatankuasanya lebih ramai daripada peserta, sedangkan dalam program kendalian syarikat jururunding latihan, kita boleh kurangkan jumlah fasilitator ke tahap minima?” saya bertanya.

Kami baru sahaja selesai menutup KEM HIJRI.

Setelah semua peserta dan ibu bapa beredar, kami bertungkus lumus mengemaskan lokasi dan menyudahkan majlis dengan minum petang sambil membuat post-mortem ringkas sebelum bersurai.

“Hmm, berapa jumlah minima yang dimaksudkan?” tanya salah seorang fasilitator.

“Kalau berdasarkan pengalaman ana mengendalikan program, sama ada pesertanya adalah kelompok pekerja atau pun pelajar sekolah menengah, jumlah terkecil yang pernah berlaku ialah tiga orang” saya menjawab.

Janggal sekali.

Lebih janggal apabila anjakan yang ingin dibuat ialah pada paradigma program zaman menara gading, dengan program zaman pasca graduan. Zaman pekerja yang tiada lagi sandaran pengaruh Majlis Perwakilan Pelajar atau apa-apa badan yang seumpama dengannya.

Semuanya atas inisiatif diri sendiri.

Di dalam program kali ini, KEM HIJRI mempunyai saya sebagai jurulatih utama, bersama Syakir, Danial, Ashraf, dan Dzulhuzmi. Pengarah Saifulislam Training & Consultancy yang seorang lagi, Ahmad Asyraf Shari tidak dapat hadir bersama walaupun sudah sedia bertungkus lumus sebelum program bermula. Kami juga dibantu oleh beberapa orang fasilitator seperti Ahmad Ilmam (UIA), Waliyuddin (UKM), Anie (UM) serta Jannah dan Fazlin dari UIA.

Pasukan KEM HIJRI 1431 ini dikurniakan masa hanya sekitar seminggu untuk membuat persiapan kejurulatihan dan Alhamdulillah segalanya berjalan lancar.

Jumlah 10 orang pengendali ini adalah jumlah yang besar. Jika dinisbahkan kepada kumpulan nasyid, mungkin ia ala-ala kumpulan Rabbani. Tetapi sebuah syarikat jururunding latihan mahu peranan setiap orang dioptimumkan.

“Macam mana dua tiga orang mengendalikan program 70 orang, ustaz?” timbul satu soalan.

“Semuanya berbalik kepada konsep kepimpinan yang pernah ana tulis iaitu MANUSIA BERHUBUNG DENGAN PERASAAN” saya menjawab.

Danial sedang mengalu-alukan ketibaan peserta KEM HIJRI

Para anggota Saifulislam Training & Consultancy perlu merujuk kepada bahan-bahan yang telah saya muatkan di blog sejak sekian lama. Artikel ‘Manusia Berhubung Dengan Perasaan Itu‘ adalah lontaran idea saya tentang teknik pengendalian program yang berorientasikan objektif. Jika matlamat sebuah program adalah untuk mengubah minda dan kepercayaan peserta tentang sesuatu, maka penderaan fizikal dan pencabulan rasional dan emosional adalah kesalahan pendekatan yang merugikan.

Berikut adalah sebahagian sedutan artikel itu yang saya kongsikan bersama warga kerja Saifulislam Training & Consultancy yang baru:

Ya, bagi seorang pelajar, mungkin agak menghairankan bagaimana saya dan tenaga kerja Fitrah Perkasa boleh mengendalikan kursus selama 3 Hari 2 Malam, sedangkan nisbah fasilitator dengan peserta ialah 1:25 malah pernah 1:40.

Ia bukanlah soal pelajar atau pekerja. Tetapi cara kita menilai dan melayan kemanusiaan manusia.

“Apabila kursus bermula, kita kena faham yang mungkin 90% daripada peserta itu hadir kerana terpaksa. Hadir kerana diwajibkan oleh syarikat” saya memulakan perkongsian idea.

“Rasa terpaksa itu selalunya bukan dibuat-buat. Memang setiap seorang peserta itu datang dengan membawa luggage kehidupan masing-masing. Ada yang terpaksa meninggalkan ibu di hospital. Ada yang terpaksa mengupah pemandu teksi untuk mengambil dan menghantar anak di sekolah. Ada yang isteri terpaksa mengambil cuti, dan macam-macam lagi” saya mahu pelajar ini melihat apa yang tidak diperlihatkan.

KEPEDULIAN

“Ingat tak kepada ungkapan yang ustaz selalu sebut tentang hal ini?” saya bertanya.

“Apa dia ustaz?” pelajar itu tidak pasti.

“People don’t care how much you know until they know how much you care! Orang tak peduli sebanyak mana kita tahu, sehinggalah mereka tahu sejauh mana kita peduli” saya cuba mengingatkan pelajar tersebut.

“Oh, ya saya ingat dah” katanya sambil tersenyum.

Sesi pertama saya bersama peserta mana-mana kursus, saya dilatih di Fitrah Perkasa supaya mengusahakan keselesaan peserta. Tunjukkan kepada mereka dengan hati yang tulus ikhlas, bahawa kita memahami dan mengambil kira kesusahan masing-masing untuk datang ke program tersebut. Saya perlu tenteramkan peserta dan “cuba mengambil hati mereka”.

“Kursus ini tidak ada agenda cium pokok, makan bubur kulit limau, atau rendam kepala dalam air. Kursus ini kursus tuan-tuan dan puan-puan. Solat 5 kali, makan 6 kali! Anggap sahajalah ia cuti-cuti Malaysia. Jalan-jalan cari…?” saya mencuba ice-breaking.

“Makannn!!!” sahut peserta diiringi gelak ketawa mereka.

“Sudah-sudahlah cari makan tu ya. Biarlah kali ini kita jalan-jalan cari ilmu pula!” saya atau mana-mana sahaja fasilitator Fitrah Perkasa akan berusaha memesrakan diri dengan peserta.

Ketika itu lazimnya peserta ini akan bergurau sesama mereka.

“Ha, tu la nko, asyik fikir makan aje. Malu la sikit kat ustaz!” kata seorang peserta kepada rakan di sebelahnya.

Saya hanya membiarkan mereka saling bergurau. Tetapi mata saya terus memerhati seorang demi seorang peserta. Siapakah di peringkat itu yang masih sejuk dan beku. Masih masam dan berwajah jemu. Perhatikan… dan camkan orang dan namanya.

Semasa sesi perkenalan selesai, ketika orang sedang makan-makan, saya atau mana-mana fasilitator akan datang secara halus kepada peserta yang pendiam itu, duduk di sebelahnya, dan menawarkan kuih yang diambil.

Bertanyakan nama, rumah di mana dan cuba cari satu dua tajuk yang boleh dijadikan titik perbualan.

“Oh, Encik Zam tinggal di Cheras. Saya pun sama. Cuma saya di Taman Midah. Encik Zam duduk di bahagian Cheras yang mana?” saya mengusahakan perbualan.

“Saya di Cheras Jaya” jawab peserta tersebut perlahan.

“Gitu… saya tak tahu sangat Cheras Jaya di sebelah mana. Cuma adalah perasan signboard tu” saya menyimpulkan persoalan yang dikongsi.

Cukup setakat itu. Apabila dia sudah sudi menjawab soalan yang ditanya, ia sudah cukup baik. Tidak perlu dikorek pada masa itu masalah yang dihadapinya. Simpan di hari kedua nanti. Jangan jadi ‘penceroboh’, menceroboh hidup orang. Cukup sekadar kita tunjukkan dengan perbuatan yang kita ini pedulikan dia. Kehadirannya kita sedari dan telah ditanda dengan perbualan ringkas itu.

Begitulah selalunya.

HASAN AL-BANNA DARI KACA MATA ABBAS AL-SISI

Saya sentiasa ingat kisah yang diceritakan oleh Abbas Al-Sisi di dalam bukunya “Jalan Menuju Hati“ tentang pendekatan Hasan al-Banna di dalam dakwahnya.

Suatu ketika seorang lelaki datang ke pejabat Ikhwan al-Muslimin untuk mendaftar sebagai ahli. Apabila Hasan al-Banna melihatnya, beliau berkata, “Assalamualaikum ya Muhammad”

Lelaki itu amat terkejut. Bagaimanakah Hasan al-Banna tahu namanya. Kata Hasan al-Banna, “aku pernah mendengar rakanmu melaungkan namamu semasa kita di sebuah stesyen keretapi!”

Begitu sekali Hasan al-Banna sensitif dalam memenangi hati manusia di sekitarnya. Ia bukanlah skill yang dibuat-buat, tetapi datang dari jiwa yang mempercayai bahawa manusia berhubung dengan perasaan, bukan formaliti dan ilmu kepandaian. Apatah lagi hubungan paksaan.

SUKA MENGHINA DAN MEMALUKAN PESERTA

Namun saya tidak nafikan, dalam pelbagai program sama ada di peringkat pelajar sehinggalah ke alam pekerjaan, memang ramai yang suka membuat pendekatan memalu dan mendera peserta.

“Minta maaf tuan-tuan dan puan-puan. Di sini tak ada Dato’ dan Datin, tak ada Bos dan Manager, semua jawatan tu gantung kat pintu masuk tu. Di sini, saya bos!” kata seorang penyelia kursus.

“Kamu semua akan diuji sejauh mana ketahanan fizikal dan mental. Maka jangan nak mengeluh kalau makanan tak seperti yang diharapkan” kata pengarah sebuah program induksi pelajar.

Lalu peserta dikerah mendengar ceramah sehingga pukul 1 pagi. Kemudian bangun jam 4 untuk Qiamullail. Seterusnya sarapan pagi hanya roti keras cicah air sejuk. Dan makan tengah hari, nasi bubur bercampur kulit oren dan biji kopi.

Apa alasan berbuat demikian?

Mahu membina ketahanan mental.

Ketahanan mental atau masalah mental?

TENTERA LAIN

Saya tidak pasti dan tidak ada membuat kajian, dari manakah datangnya kepercayaan perbuatan memalukan manusia dan mendera fizikal, boleh membawa kepada ketahanan diri yang diperlukan? Di dalam sirah Nabi SAW, yang telah berjaya melahirkan pahlawan yang hebat-hebat, saya tidak ketemu pendekatan mendera mental sebagai pembina jati diri sebaik-baik umat itu. Soal kelasakan, ia mungkin tidak perlu dibuat-buat, kerana memang nature kehidupan Arab itu kasar dan amat mencabar.

Namun saya akui, pendekatan itu sudah pun diterima sebagai sebahagian proses membentuk pasukan keselamatan. Polis, tentera, dan mereka yang seangkatan dengannya. Tentu kelasakan begitu adalah sebahagian daripada proses pembentukan.

Tetapi untuk kursus motivasi, program induksi pelajar baru, atau Tamrin membina kefahaman Islam… perbuatan-perbuatan seperti itu hanya memperbodohkan peserta sahaja. Tambahan pula anda hanya penganjur. Bukan ada kuasa untuk menguatkuasa.

Tidak hairanlah jika program begini memerlukan 20 orang AJK dengan nisbah fasilitator dengan peserta 1:2!

Anda bertindak sebagai pengawal, maka berkawallah anda sepanjang masa.

BERHEMAH TETAPI TEGAS

Syakir sedang memberi taklimat permainan simulasi

Gentle but firm, adalah kombinasi yang amat besar kekuatannya.

Membalas kekasaran dengan kekasaran, menggunakan pendekatan mengugut dan menakutkan orang lain, adalah kaedah yang lemah dan memendekkan usia pengaruh. Sebab itu banyak kerajaan diktator yang tokohnya digeruni dan bukan dihormati, hanya mampu bertahan kurang 100 tahun.

Tambahan pula kebanyakan peserta, hadir dengan minda yang lebih cenderung kepada memusuhi penceramah dan fasilitator. Geram mereka kepada majikan, kepada ibu bapa atau kepada sesiapa sahaja, mudah untuk ditujukan kepada kita.

Justeru membalas ‘permusuhan’ itu dengan kekasaran, ia menyalahi semangat al-Quran.

Lihatlah kepada apa yang ditegaskan oleh al-Quran:

“Dan tidaklah sama perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib!” [Fussilat 41: 34]

Marah itu kalah.

Kasar dan tidak berhemah itu lemah.

Membalas permusuhan dengan sikap yang lebih baik, mampu menukar lawan menjadi kawan.

Justeru dalam rasa letih dan pedih kita melayan kerenah peserta, zikirkan firman Allah:

“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu Wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka, dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu.” [Aal 'Imraan 3: 159]

Sesungguhnya kemampuan seorang pendakwah, jurulatih dan fasilitator berhemah dan tidak mengasari mad’u, adalah petanda hatinya penuh dilimpahi rahmat Allah.

Kita bukan sahaja bertanggungjawab untuk memenangi mereka dengan sikap berhemah itu, malah perlu juga dalam sepi malam selepas peserta tidur, untuk kamu maafkan mereka dan meminta keampunan Allah agar membersihkan mereka daripada kesalahan-kesalahan yang berlaku.

Bawa berbincang dengan mereka, agar rasa sense of belonging kepada program boleh ditingkatkan.

Kita tidak akan mampu melakukannya, sehinggalah kita benar-benar mengimani erti sebuah KESABARAN.

“Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang sentiasa bersabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat” [Fussilat 41: 35]

Bersama fasilitator Fazlin, Jannah dan Anie serta peserta Muslimat KEM HIJRI 1431

“Tapi kami pernah mencubanya, dan tidak berjaya!” antara komen yang pernah diajukan kepada saya.

“Apa sahaja yang masih sekadar dicuba, akan dilakukan separuh hati. Selagi ia bukan apa yang kamu percaya, selagi itu ia tidak akan membuahkan hasilnya” saya menyudahkan perbincangan.

Sekali lagi, kuasa percaya diperlukan di sini.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

0 comments: